Datin X: Sanggup Derita Menagih Cinta Lelaki Muda

Datin X, Datin X & Korner Mak Datin

Datin X: Sanggup Derita Menagih Cinta Lelaki Muda

823

Datin X kurang memahami wanita matang yang berubah remaja apabila bercinta dengan lelaki muda. Seperti Lisa yang baru bersuami muda, siang malam asyik menghantar pesanan ringkas kepada beberapa teman, menanyakan di mana Adam, suaminya. Takut-takutkan Adam berpeleseran dengan gadis-gadis seusianya pula. Naik rimas orang terpaksa jadi spy Lisa sampaikan ada yang mute Lisa di Whatsapp!

Lisa sememangnya dikenali sentiasa berjiwa muda, walau awal-awal lagi dia sudah berumah tangga sewaktu di zaman kolej dulu. Datin X dan Lisa menuntut di universiti sama di UK. Malah masih segar dalam kotak memori Datin X bagaimana dia bercinta bagai nak rak dengan Mat Saleh sana, sebelum berkahwin dan tidak lama selepas itu, Lisa melangkah masuk ke dewan kuliah sambil membawa perut yang memboyot. Sewaktu graduasi, Lisa sudah pun bergelar ibu beranak satu. Kebahagiaan yang dicita tidak bertahan lama. Beberapa tahun kemudiannya, Lisa berpisah dengan suami. Maka tinggallah dia dan anak anak di Malaysia manakala bekas suami kembali menetap di tanah kelahirannya. Lisa pula tiada masalah untuk hidup sendiri kerana dia ada support system yang kukuh menyokongnya dari belakang. Ibu golongan bangsawan, bapa pula hartawan.

Fast forward lima tahun seterusnya, Lisa akhirnya menamatkan zaman janda bersama jejaka yang usianya cuma beberapa tahun lebih tua daripada anak sulungnya sendiri. Pada awalnya ramai yang menengah. Sudahlah boleh dikira pangkat anak, gaya hidup Adam serba mewah tetapi tiada kerja tetap membuatkan ramai skeptikal. Masa tengah hangat bercinta, tentu sekali Lisa jadi bahan bualan (dan jenaka) sosialit kota. Kerana suami muda, penampilan Lisa dengan anak gadisnya pun sudah seakan sama. Selalu dia berangan perasan sendiri mengatakan yang dia dan anak gadisnya seolah-olah adik beradik. Kami semua iyakan sahaja!

Walaupun begitu, masalahnya bila terpaksa keep up dengan orang muda, kita juga pasti akan terdorong untuk ‘memudakan’ diri sendiri. Inilah yang terjadi pada Lisa yang obses buat muka dan badan agar setara anak remaja, walau usia sudah menghampiri usia bersara. Nasiblah duit banyak, boleh bayar doktor mahal. Jadi tidaklah nampak fake sangat mukanya. Luar dalam Lisa bagi ketat sampaikan dia adjust badan, dah macam Kardashian pula kami menengoknya. Paling pantang kalau Lisa mendengar orang gelar cougar. Sebab di matanya, dia masih nampak muda. Lagi pun hujah Lisa, di zaman ini, hanya orang kampung sahaja yang menyibukkan hal suami muda, isteri tua. Sebab dia ingin prove a point, obsesi awet muda Lisa ada kalanya menakutkan kami semua.

Apa yang paling menyedihkan, Lisa sanggup mengambil ubat-ubatan serta suplemen secara berlebihan walau sudah diberi amaran oleh doktor agar mengikuti sukatan yang dibenarkan berdasarkan laporan kesihatannya. Dia menggila telan semua, gara-gara sebulan dua menjelang akad nikah, Lisa berasakan badannya yang belum cukup kurus!

Belum pun lagi merai ulang tahun pertama, Lisa tiba-tiba jatuh sakit dan asyik keluar masuk hospital. Risik punya risik, barulah kami tahu yang dia menderita kerana buah pinggangnya bocor. Doktor syak ia adalah akibat pengambilan ubat kurus secara tidak terkawal. Kasihan betul Datin X mengenangkan Lisa yang kini sudah bertahun hidup bergantung pada steroid dan kesan daripada itu, badannya pun makin naik bagai dipam-pam. Malah kami semua tidak pernah tengok Lisa berbadan sebesar itu sebelum ini.

Masa Lisa baru-baru jatuh sakit, kami agak kagum melihat dedikasi Adam menemani isteri barunya di hospital. Mungkin telaah kami salah. Namun sebaik masuk bulan ketiga, kelibat Adam sudah jarang nampak di hospital. Bila ditanya pada anak-anak Lisa di mana bapa tiri, jawab mereka, Adam sibuk mahu menyambung pelajaran di universiti. Mungkin dia sudah naik segan lepak di rumah bersama keluarga mertua. Sudahlah tidak berkerja, mahu cari perkerjaan yang berjawatan tinggi jauh sekali kerana kelayakannya sekadar diploma sahaja.

Dan seperti yang semua jangka, sebaik Adam kembali berlajar, langkah dia pun mulalah semakin panjang. Dengar khabar, di universiti Adam memang hot stuff. Dia ke kuliah memandu sports car milik Lisa dan kini dikatakan sudah ada girlfriend baru yang seusia dengannya. Siang malam asyik keluar, jarang melekat di rumah. Anak-anak Lisa juga naik bosan apabila ibu asyik
meminta mereka jadi mata-mata. Periksa ke mana Adam pergi setiap hari, siapa teman-temannya, di mana dia lepak dan periksa resit-resitnya mana tahu dia check-in hotel. Anak Lisa sampaikan dipaksa menelefon kawan-kawan perempuan Adam untuk beri amaran supaya menjauhi bapa tiri mereka. Ah, sudah jadi penyiasat persendirianlah pula!

Kasihan Datin X tengok anak-anak Lisa yang tidak pasal-pasal menjadi mangsa keadaan, mengikutkan kehendak sang ibu yang sedang melayan perasaan. Di sini Datin X hanya mahu menasihati sesiapa yang berkenaan. Usahlah menyiksa diri sendiri untuk seseorang yang belum tentu ikhlas menyayangi kita. Jika cinta itu benar-benar tulus suci, pasti bahagia itu milik kita. Kerana kasih sayang itu tidak boleh dipaksa. Tidak kiralah badan kurus atau gemuk, anak dara atau janda, muda atau tua!

Dipetik daripada GLAM Isu APRIL 2019.

Your email address will not be published. Required fields are marked *