Kediaman – Tonasi Biru & Putih

Penyelaras & Teks : Nadia Zolkifli
Arahan Seni : Afiq Khairudin
Gambar : Patrick Chan

 

 

Nada warna biru dan putih menguasai seluruh interior banglo di kawasan Sengkurong ini. Monopoli perabot kayu berwarna putih bermacam reka bentuk dari era berlainan diatur rapi dan penuh seni. Khatijah Hj. Ahmad, pemilik banglo adalah anak Malaysia yang sudah menetap di Brunei lebih 36 tahun setelah berkahwin dengan orang tempatan.

 

Banglo berkeluasan 1, 400 kaki persegi ini didiami Khatijah bersama suami, anak perempuannya dan dua cucu. Banglo dibeli 25 tahun lalu dan Khatijah tidak mengubah langsung reka pelan asal.

 

“Saya hanya memperkemaskan kemasan siling (cornish) dan selebihnya menumpukan pada dekorasi dalaman yang sememangnya adalah minat dari azali. It’s a passion, saya berkongsi minat yang sama dengan adik-beradik lain yang menetap di Kuala Lumpur,”  kata Khatijah yang berasal dari Klang, Selangor.

 

Dapur terbina dibahagian hadapan banglo, bertentangan seni bina kediaman konvensional. Melewati ruang foyer, terlihat katil siang kayu dibeli daripada kedai perabot tempatan, Cinnamon yang menjadi ruang duduk-duduk sebaik sahaja pulang dari berpergian.

 

Reka pelan banglo terbina memanjang terus menuju ke ruang makan kemudian ruang tamu. Kabinet kayu konsol dicat putih agar selari tema yang ingin diangkat pemilik. Beberapa hamparan permaidani Persian dan Kilim menghiasi ruang lantai menuju ke ruang makan.

 

“Kebanyakkan perabot dempak seperti sofa, kabinet, almari dan meja kopi diperoleh sekitar Brunei sahaja. Saya sering ke kedai perabot Thomson, Cinnamon, Crimson Square di hotel Empire dan beberapa kedai perabot antik dan etnik Bali tetapi banyak yang sudah tutup,” cerita Khatijah lagi.

 

Ruang tamu yang dibina dengan dinding pemisah menjadi ruang ini cukup intim dan kasual. Dua kerusi berlengan kelabu menemani sofa dua tempat duduk biru jejalur yang baru melalui pemuliharaan fabrik. Meja kopi kaca berkaki keluli menempati di antara ruang duduk-duduk yang terbentuk.

 

Slide untuk lihat gambar. 

1 of 9
Use your ← → (arrow) keys to browse

 

Kabinet konsol antik  oriental diatur di ruang foyer banglo.