Melentingkah Suami Jika Ditegur Isteri?

GLAM Plus, GLAM Weddings

Melentingkah Suami Jika Ditegur Isteri?

111

Sejak dari zaman permulaan manusia lagi, lelaki diciptakan sebagai seorang pemimpin. Sifat pemimpin ini menjadikan mereka merasa berkuasa ke atas orang bawahannya yang dianggap lebih lemah. Oleh kerana keputusan berada di tangannya, mereka terdorong untuk menggunakan kuasa veto dan mengenepikan pandangan orang lain. Masyarakat kita sudah terbiasa dengan kuasa alfa terletak kepada insan yang bernama lelaki. Lebih-lebih lagi apabila sudah berkahwin, suami adalah tunggak keluarga. Dek kerana status sebagai ketua keluarga itu, ada sesetengah lelaki memang sukar untuk menerima teguran daripada isteri. Ego seorang lelaki juga amat tinggi. Jika si isteri menegur di atas kelemahannya, nah pasti tercalar kegoaan seorang lelaki. Lelaki yang mempunyai ego tinggi sentiasa mahu mendominasi sesuatu perkara. Isteri sepertikan tiada suara. Suami adalah orang yang paling rapat dengan isteri. Sudah tentu segala kekurangan suami berada dalam pengetahuan isteri.

Lelaki mempamerkan ego mereka sebagai ‘warning’ kepada wanita bahawa mereka perlu dipatuhi. Mereka tidak mahu wanita memandang enteng kata-kata dan pandangan mereka. Justeru lelaki selalu menggunakan kuasa veto mereka di dalam perhubungan dan kelihatan egois. Kebanyakan lelaki juga tidak boleh menerima kritikan dan teguran, terutamanya daripada kaum hawa. Mereka merasakan diri sentiasa betul. Sifat keras kepala ini menjadikan ego lelaki itu lebih meninggi diri. Hakikatnya, hari ini bukan lagi seperti zaman dulu-dulu. Para isteri celik IT dan mengikuti perkembangan semasa. Rata-ratanya bekerja. Suri rumah pun pandai menjana pendapatan melalui bisnes online yang mana keuntungan boleh cecah ribuan ringgit sebulan. Lihat bertapa agresifnya wanita hari ini. Mungkin ada suami yang tidak sedar bahawa isteri adalah saraf tunjang keluarga. Isteri, walaupun kerja sebagai CEO pun, dia akan menjaga kebajikan keluarganya. Menjaga anak, memasak, mengemas rumah, merancang budget keluarga dan banyak lagi.

Banyak senario di mana si isteri kerja besar, di syarikat dialah bos, biarpun suami tidak kerja besar tetapi apabila di rumah isteri tetap menghormati suami, kerana dia tahu suami adalah ketua keluarga. Pun begitu tidak bermakna wanita tidak mempunyai suara dalam rumah tangga. Wanita sememangnya sangat matang dalam menangani masalah. Dan lazimnya wanita lebih tahu apa yang terbaik untuk perancangan rumah tangga mereka. Tetapi apabila cuba menegur suami demi untuk kebaikan bersama ia selalunya tidak disambut baik daripada pihak suami. Ramai suami yang tidak boleh mendengar nasihat isteri.

Tips untuk menegur suami, pertama sekali seorang isteri harus banyak berdoa untuk suaminya. Doa isteri adalah kunci kejayaan suami. Isteri selaku ibu rumahtangga perlu banyak berdoa demi sebuah keluarga yang bahagia, berjaya, harmoni, dan cermerlang. Apabila kita memohon pada yang Esa, segala-galanya akan dipermudahkan. Cuma cepat atau lambat kerna DIA adalah sebaik-baik penolong. Kedua, cairkan keegoan lelaki dengan kelembutan kita dan sifat manja kita. Segagah manapun lelaki, apabila kita berlembut, akan roboh juga pagar keegoannya. Beritahu teguran anda sambil menyentuh tangannya, (sentuhan dan belaian amat membantu) dan susun perkataan agar tidak kasar didengarinya. Bahasa dan intonansi amat penting. Dan terangkan mengapa anda mahu dia berubah dengan terperinci. Anda harus tahu lelaki tidak seperti wanita yang bisa membuat spekulasi sendiri. Mereka harus diberitahu secara terperinci untuk mereka benar-benar faham apa yang kita idamkan daripada mereka.

Lelaki tidak boleh membaca apa yang tersirat di hati kita atau apa yang bermain di kotak fikiran kita. Jadi anda harus ceritakan perubahan apa yang anda dambakan daripada dia. Dan sertakan kebaikan yang dia akan dapat pada dirinya dan keluarga jika dia mendengar teguran anda. Pilihlah suasana yang tenang dan nyaman untuk utarakan teguran atau nasihat anda buat sang suami. Hadiahkan senyuman. Mulakan teguran dengan perkataan maaf dan terima kasih. Begitu juga ketika selesai bercakap. Kadang- kadang bercakap sudah tidak berkesan lagi kerana mungkin ada pihak yang akan tersinggung. Menulis surat membuatkan kita lebih mengamati dan lebih bertenang. Nescaya lembut hati suami untuk mendengar teguran kita.

Sesetengah isteri mengharapkan suaminya berubah, (mestilah ke arah yang digemari olehnya), akan tetapi dia sendiri tidak pula berubah ke arah yang disukai suami. Yang penting, bila teguran anda tidak berkesan, semak kembali diri, mungkin cara tegur anda salah, mungkin anda tidak pandai menegur, atau mungkin anda sendiri yang patut ditegur! Ya lah, kita ini asik menghitung kesalahan orang sahaja, sampai terlupa membelek kelemahan orang lain. Apabila isteri mahu suami mengubah sikap yang kurang disenangi, berikan teladan yang baik bahawa isteri mahu seperti itu. Ini lebih baik dari membebel. Misalnya, jika isteri mahu suami tidak kedekut berbelanja untuk keluarga, isteri boleh mulakan tindakan itu dahulu. Suami yang peka akan berasa malu sekiranya dia tidak boleh diharapkan dalam rumahtangga. Menegur suami, harus berhati-hati supaya tidak jatuh martabatnya sebagai suami. Bagaimana jatuh martabat suami? Bila dirinya sudah tidak dihormati oleh isteri. Menegur suami cukup hanya sekali dua sahaja dalam waktu terdekat. Jangan anda menjadi radio rosak pula. Nanti rasa-rasa sudah lama itu barulah menegur lagi.

Artikel ini pernah disiarkan di GLAM Weddings 2019

Your email address will not be published. Required fields are marked *