Murni Di Majlis Perkahwinan

GLAM Plus, GLAM Weddings

Murni Di Majlis Perkahwinan

80

Bagaikan irama dan lagu, perkahwinan  menjadi kemuncak perhubungan uda dan dara. Lalu, penyatuan dua hati ini di raikan di dalam majlis yang meriah dan gilang-gemilang sebagai berkongsi keseronokan, meraikan kebahgiaan bersama keluarga, sanak-saudara juga teman-teman tercinta. Ramai memilih untuk melaburkan sejumlah wang bagi memastikan majlis perkahwinan mereka bakal merakam memori terindah.  Namun, ada yang memilih untuk meraikan majlis bahagia  dengan meneroka gaya berbeza bagi memastikan perjalanan cinta suci ini terus diberkati. Saya diperkenalkan dengan konsep Wedding with a good cause yang mana pasangan ini memilih untuk membelanjakan wang perbelanjaan yang lazimnya digunakan untuk majlis keraian selain untuk kelengkapan perkahwinan lain yang disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Semestinya bagi mereka yang  sudah memiliki hampir kesemua yang diperlukan dalam hidup mereka,  melihat senyuman asing yang terukir sewaktu  hari bahagia mereka memberikan nilai  yang tidak mampu dinilaikan dengan wang dan kepuasan yang tidak terucap dengan kata-kata. Memori indah tersebut akan kemas tersimpan di sanubari sebagai petanda di saat mereka memeterai perjanjian untuk hidup bersama ada insan yang kurang bernasib baik mampu mengukir senyum di atas perkongsian yang dilakukan. Betapa mulianya hati dan jiwa kedua insan ini sehingga sanggup mengorbankan momen paling berharga mereka berdua.

Bagaimana idea sebegini boleh tercetus? Sejujurnya bagi saya sendiri ia tidak pernah terlintas kerana secara amnya saya sedikit tradisionalis dan mahu berkongsi keseronokan saya dengan keluarga dan orang yang saya kenali sahaja. Untuk itu saya diberi peluang untuk mengenali seorang gadis berjiwa besar  yang telah melibatkan dirinya dalam pelbagai arena kebajikan yang berkongsi idea mengenai Wedding for a good cause. Elisa Khong mempunyai latar belakang di dalam industri gas dan petroleum ini sempat berkongsi dengan saya mengenai idea unik yang mempunyai nilainya tersendiri buat mereka yang berjiwa besar. Dia sebenarnya bukanlah asing denga idea  kerja-kerja kebajikan. Antara usaha yang telah dilakukannya adalah terbabit dengan Kechara Kitchen yang menyediakan makanan untuk gelandangan.

Oleh kerana kekangan masa, saya hanya berpeluang menemu bual dengan insan berhati mulia ini lewat telefon sahaja.  Biarpun ini kali pertama berhubung ternyata kecerian dan kejujurannya dapat saya rasakan di hujung talian. Oleh kerana  konsep sebegini  masih lagi asing pada saya, jadi saya biarkan Elisa bercerita dan berkongsi mengenainya.  Pertama sekali yang bermain di minda saya adalah bagaimana ia bermula. “Seperti pasangan lain, kami mula merencana untuk membawa hubungan cinta ini ke satu langkah lagi yakni perkahwinan. Seperti kebiasaanya setiap gadis pasti mempunyai impian dan angan-angan  mengenai  majlis perkahwinan mereka,  pakaian dan solekan serta dandanan yang ingin digayakan. Pada mulanya saya menginginkan konsep kem untuk majlis kami. Bagaikan kem musim panas yang dikunjungi ketika cuti penggal. Kami bercadang untuk menyewa sebuah resort percutian untuk bersama-sama  teman dan keluarga sambil meluangkan masa bersama-sama dengan pelbagai aktiviti yang dirancangkan.  Saat itu kami mula merangka dan merisik mengenai kos perbelanjaan daripada mereka yang kami minati hasil kerjanya. Betapa terkejutnya saya melihat kos yang perlu saya keluarkan. Biarpun hakikatnya kami mampu untuk membelanjakan sejumlah wang itu, tapi rasa pembaziran itu begitu menebal dalam sanubari kami.  Lagi pula majlis ini akan hanyalah  untuk satu malam sahaja.

Lantas kami yang ketika itu berada di Jakarta,  sepakat untuk mengubah perjalanan majlis ini kepada sesuatu yang dekat di hati kami. Ditemani pancaran mentari terbit saat kami mengambil keputusan itu, kami tahu inilah yang paling tepat untuk kami.  Tambahan pula saya sentiasa terlibat dengan aktiviti kebajikan manakala pasangan dalam bidang teknikal untuk teknologi maklumat. Untuk itu, kami  sepakat memilih untuk melakukan perkahwinan kami melalui majlis atas talian.”

Menurut Elisa lagi perbelanjaan yang mereka perlu keluarkan tidak hanya tertakluk kepada perbelanjaan majlis. Ini kerana mereka memiliki teman -temanyang tinggal dari seluruh pelosok dunia. Sebahagian daripada mereka mengikut pelan asal iaitu akan diterbangkan khusus untuk acara ini. Oleh itu, dengan membuat majlis atas talian semua orang dapat menikmati perjalanan majlis tanpa perlu memikirkan mengenai kos yang perlu keluarkan. Seperti kebiasaaan bagi majlis perkahwinan berbangsa cina, pemberian ang pau yang merupakan adat tetap kami teruskan. Uniknya kali ini, wang yang diterima sebagai ang pau ini akan disumbang ke tabung kebajikan. Mereka diberikan pilihan untuk menderma pada badan-badan tertentu pilihan mereka atau membenarkan kami menyumbang kepada badan pilihan kami. Banyak yang pernah dilihat di peringkat antarabangsa bagaimana mereka melakukan perkara berbeza bagi  menggantikan untuk perbelanjaan majlis perkahwinan mereka. Antaranya di Turki, pasangan ini memilih untuk memberi makanan kepada pelarian Syria yang berada di sempadan negara mencari tempat untuk mendapatkan perlindungan sebagai ganti majlis resepsi mereka.  Sementara di India, seorang bapa akan membelanjakan sejumlah wang  yang tinggi secara adatnya untuk mengahwinkan anak gadisnya memilih untuk membina kediaman bagi  golongan gelandangan. Ini menunjukkan betapa tinggi nilai perbelanjaan ini yang digunakan untuk majlis perkahwinan biasa.  Semestinya solusi bagi Elisa dan pasangannya adalah menganjurkan majlis yang tidak memakan kos yang tinggi kerana perbelanjaan ini adalah untuk orang lain yang memerlukan.

“Ini bakal menjadi majlis atas talian pertama di dunia. Dinamakan sebagai cloudwedding, para jemputan bakal menerima akses ke laman ini sambil mereka masih dapat menikmati keselesaan di kediaman sendiri atau di mana sahaja mereka berada. Buat masa ini, atur cara majlis yang akan berlangsung pada bulan Jun ini belum lagi kami tetapkan. Ia bakal menjadi kejutan buat semua di mana dan bagaimana majlis akan berlangsung. Di sini juga kami kongsikan  bagaimana  wang yang telah kami kumpulkan ini dibelanjakan.  Saya berterima kasih kerana setakat ini kami telah mendapat berjaya memperoleh hampir RM 1.5 juta. Sebanyak RM 500,000 telah dibelanjakan antaranya buat Pusat Autism yang terletak di Pulau Pinang. Bangunan lama milik kami di ubah suai untuk dijadikan pusat melatih mereka yang menghidap gangguan autism serta membantu mereka menyesuaikan diri kepada dunia pekerjaan di luar sana. Ada juga yang kami dermakan pada sekolah kanak-kanak perempuan.”

 

Semestinya idea mereka ini menjadi inspirasi pada pasangan lain. Pada mereka yang membuat pilihan sebegini, tiada apa yang lebih mulia apabila memulakan penghidupan baru dengan berkongsi rezeki bersama insan yang kurang bernasib baik.  Bayangkan berapa banyak bantuan yang dapat kita salurkan apabila pembaziran yang tidak perlu pada majlis perkahwinan dikongsikan bersama masyarakat amnya. Seperti yang saya nyatakan di atas, seronoknya memulakan perjalanan bukan hanya dengan restu, senyuman dan doa oleh mereka yang disekeliling sperti ahli keluarga dan teman rapat  tetapi insan-insan lain yang kurang bernasib baik di dalam hidup mereka. Mudah-mudahan doa yang dititipkan mereka akan terus mengalir ke dalam kehidupan pasangan pengantin yang berjiwa murni ini.

Artikel ini pernah disiarkan di GLAM Weddings 2018

Your email address will not be published. Required fields are marked *